KUALA LUMPUR, 22 MAC 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pertubuhan Dana Kita, sebuah badan bukan kerajaan, telah melancarkan Program Sinar Baru yang bertujuan untuk membantu golongan asnaf yang berminat untuk menjadi usahawan dalam bidang jahitan.\
Selari dengan matlamat ini, Bengkel Pengurusan Jahitan Program Sinar Baru TH- Dana Kita akan dianjurkan secara percuma kepada 50 peserta terpilih daripada golongan asnaf.
“Program Sinar Baru ini merupakan satu usaha yang amat baik dengan hasrat untuk membantu memberi kemahiran asas kepada para asnaf supaya mereka dapat berdikari seterusnya menjadi usahawan, hasil ilmu daripada kemahiran yang telah dipelajari,”kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
“Jika kita lihat negara dilanda pandemik pada akhir tahun 2019, ramai dalam kalangan masyarakat terutama daripada golongan B40 yang hilang pekerjaan makanya tiada sumber pendapatan. Hidup mereka jadi bertambah sukar malah ada dalam kalangan M40 yang turut terkesan, dihimpit beban kewangan yang teruk,”tambah beliau.
“Bertepatan dengan namanya, Program Sinar Baru TH ini pastinya merupakan peluang terbaik buat semua asnaf terpilih dan menjadi sinar harapan untuk mereka bangkit memperbaiki taraf kehidupan masing-masing, Insya-Allah,” kata beliau.
Tuan Hj Mohamed Ameen Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH berkata sebanyak RM272,500 telah diperuntukkan di bawah Program Sinar Baru ini bagi pembelian mesin-mesin jahit industri, barangan keperluan jahitan, seterika wap, makan minum sepanjang bengkel asas tiga hari termasuk kos pengurusan.
“TH berharap kerjasama dengan Dana Kita ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di Malaysia. Kemahiran menjahit yang diajarkan dalam bengkel serta peluang turut serta dalam projek jahitan oleh Dana Kita itu nanti, diharapkan dapat menjadi sumber rezeki dan mata pencarian baharu buat para asnaf yang terlibat.,” kata beliau.
“Insya-Allah TH akan terus melaksanakan program-program Zakat seperti ini pada setiap tahun dan memastikan golongan sasaran mendapat faedah serta manfaat dari kesemua program yang dijalankan,” tambah beliau.
Bengkel pengurusan Jahitan Program Sinar Baru ini akan dijalankan selama tiga hari di Wisma Pertubuhan Dana Kita, Gombak dan pemantauan terhadap peserta usahanita asnaf akan dilakukan selama setahun.
Melalui data yang diperolehi daripada Pejabat Zakat, pihak sekolah dan komuniti kampung serta Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MGBWPKL), pemilihan peserta asnaf akan disaring oleh AJK Majlis Tertinggi Pertubuhan Dana Kita.
Pada tahun 2021 TH telah memperuntukkan sebanyak lebih RM19 juta wang zakat untuk pelaksanaan program-program Zakat TH yang memanfaatkan lebih 200,000 asnaf dan golongan sasar.
Keprihatinan TH dalam melaksanakan program kemasyarakatan ini adalah selaras dengan visi dan misinya dalam pembangunan sosioekonomi ummah dan negara.
Turut hadir pada majlis pelancaran hari ini di Menara TH adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Hj Mohamed Ameen Abdul Wahab, serta wakil peserta program Sinar Baru.
-Tamat-
TH, DANA KITA LANCAR PROGRAM SINAR BARU CIPTA USAHAWAN JAHITAN.PDF