PULAU PINANG, 18 Mac 2014 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,879,454.50 bagi tahun 2013 kepada Zakat Pulau Pinang, dalam satu majlis ringkas di sini.
Pembayaran zakat bagi Negeri Pulau Pinang tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding RM1,684,247.35 pada 2012. Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Negeri Pulau Pinang merupakan negeri ke-tujuh dalam siri jelajah penyerahan zakat Perniagaan TH pada tahun ini. Bagi Negeri Pulau Pinang, pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM1,879,454.50 (2013), RM1,684,247.35 (2012) dan RM1,611,467.00 (2011).
Pembayaran zakat perniagaan merupakan kewajipan dan tanggungjawab TH sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi dan menjamin kemaslahatan ummah khususnya golongan asnaf.
Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab korporat yang disusun atur sepanjang tahun bagi golongan tersebut seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB. Dato’ Haji Mohd Rashid Bin Hasnon, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato’ Haji Abdul Malik Bin Abul Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Mohd Salleh Bin Man, Yang DiPertua MAINPP, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, Haji Azman Bin Abdul Samat, Pengurus Besar, Zakat Pulau Pinang, Tuan Haji Muhamad Hamdan Omar, Pengarah TH Negeri Pulau Pinang, pegawai-pegawai Zakat Pulau Pinang dan TH.
-Tamat-