PUTRAJAYA, Selasa, 19 Februari 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak 41 unit mesin hemodialisis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu majlis simbolik penyerahan yang diadakan di Auditorium, Hospital Putrajaya.
Sumbangan mesin hemodialisis bernilai RM1.68 juta ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari, Pengerusi TH kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia dengan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan Datuk Kamarul Zaman Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebanyak 15 buah hospital kerajaan terpilih di tujuh buah negeri iaitu Perak (tiga unit), Selangor (15 unit), Wilayah Persekutuan (empat unit), Negeri Sembilan (tiga unit), Johor (enam unit), Terengganu (tujuh unit) dan Kelantan (tiga unit) menerima sumbangan ini untuk kegunaan wad/unit hemodialisis masing-masing secara berperingkat-peringkat bermula akhir Februari ini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat TH dibawah Projek Kesihatan yang dimula pada tahun 2012 sebagai usaha TH untuk menyumbang ke arah pembangunan komuniti yang lestari dan mampan khususnya komuniti Islam. Sumbangan ini juga menjadi platform kepada TH untuk memberi semula kepada pendepositnya yang menghidapi penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan hemodialisis, yang telah difatwakan tidak wajib menunaikan ibadah haji dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-84 (2008).
Sumbangan TH membantu dan memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang yang kini memperlihatkan peratus peningkatan yang tinggi dan kepergantungan kepada perkhidmatan hemodialisis yang semakin mendesak di kalangan rakyat Malaysia. Pada tahun 2011, bilangan kes baru yang menjalani hemodialisis ialah 5,201. Manakala jumlah pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di seluruh negara ialah 24,105 orang, dimana 55 peratus daripadanya adalah lelaki.
“Sebagai sebuah institusi pemangkin sosio-ekonomi negara yang bertanggungjawab, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menyokong program transformasi negara ke arah membina masyarakat yang lestari. Justeru, Tabung Haji berharap dengan sumbangan dan bertambahnya bilangan mesin hemodialisis di hospital-hospital Kerajaan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kos rawatan khususnya kepada mereka yang tidak berkemampuan,” kata Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.
“Inisiatif yang dibuat oleh Tabung Haji hari ini merupakan sumbangan yang sangat bernilai dan wajar dipuji serta dijadikan contoh kerana sumbangan ini bukan sahaja membantu Kementerian Kesihatan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, bahkan sumbangan seperti ini juga pastinya membawa manfaat yang besar kepada masyarakat Malaysia keseluruhan”, kata Yang Berhormat Dato’ Seri Liow Tiong Lai.
Antara program-program tanggungjawab sosial korporat dilaksanakan oleh TH ialah Projek Ehsan, Projek Pendidikan dan Projek Bumbung.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh. YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Ketua Perkhidmatan Nefro, Pakar Nefro, Pengarah-Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Pengarah-Pengarah Hospital, Ketua-ketua Unit dan Jabatan Hospital Putrajaya dan Barisan Pengurusan Kanan TH.
-Tamat-