KUALA LUMPUR, 22 Januari 2019: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan penyertaan terkini CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) sebagai Rakan Strategik TH. Pelanggan CIMB dapat melaksanakan perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh Negara. Perkhidmatan ini turut memberikan kemudahan kepada lebih sembilan (9) juta pendeposit TH.
Melalui kerjasama strategik ini, pendeposit TH dapat melaksanakan transaksi berkaitan TH seperti pengeluaran wang tunai; simpanan wang tunai; pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya; pendaftaran dan pembatalan ‘link’ kad ATM CIMB ke akaun TH serta pertanyaan baki simpanan.
YBhg Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, “Kerjasama strategik ini akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 6,000 rangkaian perkhidmatan (‘touch points’) kepada lebih 9,000 ‘touch points’ seluruh negara”.
“Penggunaan saluran elektronik dengan konsep ‘layan diri’ (‘self-service’) ini boleh diakses dengan mudah, serta bilangan pendeposit yang menggunakan kemudahan tersebut juga semakin meningkat,” tambah beliau.
YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB berkata perkhidmatan ini secara keseluruhannya boleh diakses oleh pelanggan-pelanggan CIMB, tidak kira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic.
“Saya berasa amat gembira dan berbesar hati kerana kerjasama ini dapat disempurnakan untuk kemudahan para pelanggan CIMB dan TH. Kerjasama strategik yang memberikan nilai tambah kepada para pelanggan kami mencerminkan fokus CIMB dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan selari dengan teras “pengalaman pelanggan” (‘customer experience’) yang menawarkan servis yang cekap dan mudah. Justeru, kami di CIMB terus komited dalam memastikan lebih banyak kerjasama sebegini dapat dimeterai demi manfaat para pelanggan di masa hadapan.” tambah beliau.
-Tamat