KUALA LUMPUR, 10 JANUARI 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M.
TH juga telah dimaklumkan bahawa tiada had umur bagi mengerjakan rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini berbanding had 65 tahun yang dikenakan untuk musim haji tahun lepas.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata TH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh yang menunjukkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang diambil Arab Saudi untuk menangani pandemik Covid-19 pada tahun-tahun sebelumnya.
“TH telah memulakan persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan dan memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin.
“TH akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji tidak lama lagi dan akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, 2021 dan seterusnya 2022 yang masih menunggu giliran mereka disebabkan pandemik, sebelum diikuti dengan bakal haji giliran 2023. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” tambah Dato’ Sri Amrin.
Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga akan dibuka dan tarikhnya akan diumumkan oleh TH dalam masa terdekat. Pemilihan rayuan haji adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan.
Dato’ Sri Amrin juga menasihatkan semua bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji anjuran TH selama 13 minggu bermula 25 November 2022 sehingga 17 Februari 2023 sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.