KUALA LUMPUR, 13 Disember 2012: Tabung Haji (TH) mengadakan Majlis Kesyukuran Sempena Tamatnya Operasi Haji Musim 1433 Hijrah sebagai tanda kesyukuran atas hasil kejayaan TH dan rakan-rakan strategiknya dalam menguruskan operasi haji pada tahun ini. Majlis ini juga adalah untuk merakamkan tanda penghargaan TH kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci.
Majlis ini dihadiri oleh lebih 300 orang petugas dan wakil dari 33 agensi dan Syarikat swasta yang telah terbabit di dalam operasi haji tahun 1433 Hijrah yang baru saja berakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Paduka Ismee Ismail dalam ucapan aluannya berkata, kejayaan TH pada setiap musim haji adalah hasil kerjasama erat dan hubungan akrab yang telah terjalin sejak sekian lama di antara TH dan agensi-agensi luar dan syarikat-syarikat swasta yang juga merupakan rakan-rakan strategik TH. Beliau juga turut merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi di Malaysia diatas kerjasama, bantuan serta sokongan baik yang diberikan sepanjang operasi haji berjalan.
Antara agensi-agensi yang terlibat di dalam operasi haji kali ini ialah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airlines, Saudi Arabian Airlines, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam DiRaja Maalysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia Airport Berhad, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Selangor, Tenaga Nasional Berhad, Plusliner dan beberapa buah Syarikat Media elektronik dan cetak.
Hasil kerjasama erat dan sokongan agensi terbabit, kejayaan perkhidmatan pengurusan haji oleh TH sentiasa diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi dan dikagumi oleh negara-negara Islam lain, ditambah pula dengan keperibadian jemaah haji Malaysia yang tinggi dan sering dijadikan contoh dalam forum-forum antarabangsa.
Hadir sama di dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato` Seri Jamil Khir Hj Baharom, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad A.H Al Rashid, serta Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.
-Tamat-