KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi suku ketiga dan sembilan (9) bulan pertama tahun 2019, dipacu oleh strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemah.
Prestasi kewangan semakin baik
Bagi suku ketiga tahun 2019, TH telah berjaya memperoleh pendapatan sejumlah RM0.9 bilion menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan (9) bulan pertama tahun 2019 meningkat kepada RM2.1 bilion, dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM0.4 bilion), pelaburan ekuiti (RM0.3 bilion) dan pelaburan instrumen pasaran wang Islam (RM0.3 bilion). Keuntungan bersih juga telah meningkat kepada RM1.3 bilion dengan suku ketiga merekodkan keuntungan sebanyak RM0.5 bilion hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.
Kedudukan kewangan kekal kukuh
Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil telah berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran ekuiti yang tidak menentu akibat ketegangan perang dagangan di peringkat global.
Pada 30 September 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion, di mana jumlah aset adalah RM73.4 bilion manakala jumlah liabiliti adalah RM71.1 bilion. Lebihan aset tersebut didokong oleh rizab penyamaan hibah berjumlah RM0.4 bilion dan keuntungan terkumpul berjumlah RM2.0 bilion yang boleh diagihkan.
Sokongan pendeposit kekal utuh
Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh dengan jumlah simpanan pendeposit berada pada paras RM70.0 bilion pada 30 September 2019. Sepanjang tiga bulan dalam suku ketiga 2019, lebih daripada 87,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.43 juta.
Operasi Haji Musim 1440H/2019M telah selesai
Operasi Haji Musim 1440H/2019M telah selesai dengan ketibaan kumpulan terakhir Jemaah Haji Malaysia menerusi penerbangan carter MH8383 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 September 2019 yang lalu. Secara keseluruhannya, operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini. Pada Musim Haji 1440H/2019M ini juga, kos haji keseluruhan yang ditanggung oleh TH adalah sekitar RM300 juta. TH sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Jemaah Haji Malaysia setiap tahun.