Taiping, Khamis, 24 November 2016: Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM150,000.00 kepada 300 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Progam Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Perak, hari ini.
Para pelajar dari 15 buah sekolah menengah terpilih di sekitar Daerah Larut Matang dan Selama menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh YB. Datuk Hajah Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH.
“Pengagihan sumbangan zakat dibawah Program Iqra’ ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf dan kurang berkemampuan membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2017. Sumbangan ini juga sebagai suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing,” kata YB. Datuk Hajah Rosni Sohar.
Program Iqra’ mensasarkan pelajar asnaf seluruh negara ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh TH setiap tahun. Program yang dilaksanakan dalam bulan November ini mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah di seluruh negara. Dengan sempurnanya majlis pada hari ini, TH selesai melaksanakan penyerahan sumbangan Program Iqra’ 2016 di semua 14 buah negeri.
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial TH terhadap golongan asnaf dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangunkan modal insan serta melestarikan komuniti Islam negara. TH berharap sumbangan ini dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekaligus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
TH juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan, pejabat pendidikan di peringkat negeri dan daerah serta warga pendidik seluruh negara yang memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Tuan Haji Hisham Harun, Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia TH, Tuan Haji Nawawi Ishak, Pengarah TH Negeri Perak, Tuan Haji Aminnudin Mohd Nor, Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
-Tamat-