KUALA LUMPUR, 21 NOVEMBER 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M.
Penambahan bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim 1446H/2025M ini berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang telah memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.
Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata Tabung Haji sangat terbuka dalam pemberian Lesen PJH kepada mana-mana syarikat pelancongan yang memohon serta memenuhi kelayakan dan seterusnya melepasi penilaian TH.
“Berdasarkan proses pemilihan, penilaian dan semakan yang dilakukan, saya yakin syarikat-syarikat PJH yang telah terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia,” jelas beliau.
“Mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji, mereka boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH”, tambah beliau lagi.
Bagi memudahkan urusan haji, TH juga telah melancarkan Sistem Agensi Haji, satu sistem digital untuk memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH. Sistem ini dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses, dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.
"Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi," tambah YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.
YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im juga menyeru semua PJH pada musim haji 1446H untuk terus menawarkan pakej haji ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai salah satu inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal haji untuk menunaikan ibadah haji dengan harga yang berpatutan.
Selain itu, YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im berkata bahawa kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun. Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memastikan pakej haji yang dipilih adalah melalui syarikat yang dilesenkan oleh TH.
YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im mengingatkan bakal haji mengenai peraturan ketat yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi, khususnya mengenai larangan menunaikan haji tanpa permit yang sah dan mengingatkan bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi peraturan ini untuk mengelakkan masalah semasa di Tanah Suci.
TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini di mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji.
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan tidak lama lagi. Bakal haji yang terpilih perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran.
-TAMAT