Kundasang, Khamis, 17 November 2016 : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM70,000 kepada 140 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Progam Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Kem Bina Negara Kundasang, Ranau, Sabah.
Para pelajar dari 10 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di sekitar Daerah Ranau ini menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi TH.
“Sumbangan bantuan Program Iqra’ disalurkan melalui bidang pendidikan kerana bidang ini dilihat sebagai pembolehubah penting dalam memajukan seseorang individu, masyarakat dan negara. Dalam era kemajuan dan globalisasi ini, masyarakat yang berpendidikan adalah aset penting negara bagi memastikan kelestarian dan kelangsungan pembangunan”, kata YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani.
Program Iqra’ yang mensasarkan para pelajar asnaf seluruh negara ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh TH setiap tahun. Pada tahun ini, TH mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah di seluruh negara.
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial TH terhadap golongan asnaf dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam negara. TH berharap sumbangan ini dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekaligus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah YBhg. Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Sabah, YBrs. Puan Siti Hamni Hashim, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
-Tamat-