KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meraikan sebahagian daripada jemaah haji musim 1443H dan 1444H yang telah menolak Bantuan Kewangan Haji dalam usaha mendapatkan haji mabrur dan juga selari dengan syarat istito’ah bagi rukun Islam ke-lima.
Hampir seramai 500 jemaah haji telah membayar lebih dari kadar bayaran minima yang perlu dibayar termasuk ada diantaranya membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 bagi musim haji yang lepas.
Seramai 67 orang dari kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji secara total dan membayar penuh manakala 396 jemaah haji telah membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah kepada jemaah haji kerana memilih untuk membayar penuh atau lebih daripada yang ditetapkan selaras dengan konsep istito’ah yang dituntut syariat.
“Kesedaran dan kefahaman akan konsep kemampuan tunai haji yang ingin kita terapkan kepada semua umat Islam negara agar Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH boleh disampaikan kepada mereka yang layak dalam kadar jumlah yang munasabah dan ihsan,” kata YB Dato’ Setia.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada TH yang banyak mengadakan pelbagai program pendidikan serta pendedahan berkaitan istito’ah di media-media massa untuk makluman umum. Usaha ini perlu diteruskan agar lebih ramai bakal jemaah haji diberi kesedaran akan konsep Istito’ah, Insya Allah,” jelas YB Dato’ Setia.
Dalam pada itu, YB Dato’ Setia berkata istito’ah perlu difahami oleh setiap umat Islam agar mereka yang belum tergolong dalam kategori istito’ah masih belum wajib menunaikan haji sehingga mengundang masalah terutamanya kemampuan kewangan.
Perlaksanaan ibadah haji tidak dapat dicapai jika tidak mempunyai persediaan dan penghayatan daripada segi kemampuan atau istito’ah.
Pada musim haji 1443H/2022M yang lalu, seramai 44 orang jemaah telah membuat bayaran penuh kos haji. Peningkatan bilangan jemaah yang membayar penuh pada tahun ini jelas menunjukkan peningkatan kesedaran umum dan para jemaah tentang kepentingan istito’ah dalam ibadat haji.
Kos haji bagi seorang jemaah Muassasah pada musim 1444H adalah RM30,850 dan TH telah memberi Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang berjumlah RM265 juta. Sejak 2001 sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan untuk menanggung Bantuan Kewangan Haji.
Pendekatan Bantuan Kewangan Haji bersasar dapat mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mengimbangi keperluan menjaga kebajikan 31,600 jemaah setiap tahun dan juga agihan keuntungan bagi hampir 9 juta pendeposit.
Peningkatan Bantuan Kewangan Haji setiap tahun akan memberi kesan kepada kelestarian kewangan TH yang juga bertanggungjawab untuk memberi agihan keuntungan yang stabil dan mampan kepada para pendeposit setiap tahun.
Walau bagaimanapun, TH tetap meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada yang sangat memerlukannya dan sentiasa prihatin akan kebajikan para jemaah haji.
Bantuan Kewangan Haji secara bersasar ini diyakini lebih adil dan bersifat ehsan serta memenuhi konsep istito’ah haji.
Bantuan Kewangan Haji adalah tidak wajib diterima jemaah berdasarkan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 tahun 2020/1442H, namun tidak salah juga untuk menerimanya.
-Tamat-