KUALA LUMPUR, 13 OKTOBER 2022- Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menjelaskan bahawa sistem pendaftaran haji terbuka sedia ada berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” telah dilaksanakan sejak dari tahun 1995.
Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, para pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300. Setiap pendeposit yang telah mendaftar akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat. Kini seramai 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam ke lima.
Untuk makluman semua, kuota haji Malaysia dan lain-lain negara dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam OIC (Organisation of Islamic Cooperation) adalah pada kadar 0.1% daripada jumlah penduduk negara. Buat masa ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan kuota haji rasmi dan syarat-syarat pemilihan bakal jemaah haji untuk musim haji 1444 Hijrah.
Bagi musim haji tahun 2023, keutamaan akan diberikan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021, 2022 dan seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran sedia ada disebabkan penangguhan ibadat haji untuk rakyat Malaysia kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.
Pada setiap musim haji terdapat kekosongan yang disebabkan permohonan untuk menangguh giliran haji atas pelbagai sebab seperti kesihatan, pendidikan anak dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kekosongan ini akan diisi dengan senarai jemaah yang menunggu atau pertimbangan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan rayuan. Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria-kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberikan keutamaan.
Dalam urusan berkaitan Haji dan Umrah di tanah Suci, Kerajaan Arab Saudi kini giat membangunkan dua kota suci Makkah dan Madinah bagi meningkatkan fasiliti dan kapasiti jemaah bertujuan memberi keselesaan kepada para jemaah haji dan umrah di masa akan datang.
Berdasarkan Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi, jumlah jemaah haji disasarkan untuk meningkat kepada 5.4 juta menjelang tahun 2030. Oleh yang demikian, TH juga optimis jumlah jemaah haji negara akan meningkat dan ini akan membolehkan masa menunggu tunai haji dapat dipendekkan.
TH sentiasa komited dalam menambah baik proses demi kepentingan pendeposit dan jemaah. Umat Islam dan orang ramai di alu alukan memberi apa jua cadangan dalam usaha menambah baik perkhidmatan dan memastikan TH kekal kukuh demi kepentingan para pendeposit dan jemaah haji di masa masa yang akan datang.
-Tamat-