KOTA KINABALU, 5 OKTOBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Iqra IPTA 2023 bagi membantu meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan mahasiswa berstatus B40 atau asnaf.
Sumbangan ini akan dimanfaatkan oleh sebahagian daripada 14,000 mahasiswa UMS yang berada dalam golongan B40 terutamanya keluarga asnaf yang kurang berkemampuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata beberapa universiti tempatan telah mengenal pasti ramai mahasiswa mereka yang berasal daripada keluarga B40.
“Para pelajar ini terpaksa menahan perut berlapar kerana tidak mempunyai wang belanja yang cukup dan menghadapi masalah untuk membayar yuran kursus dan asrama masing-masing,” kata YB Dato’ Setia di Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra IPTA 2023 di Pusat Islam UMS.
“Melihat kepada permasalahan ini, TH telah mengambil inisiatif membantu mahasiswa dari golongan B40 melalui Program Iqra IPTA dengan kolaborasi beberapa buah insititusi pengajian tinggi tempatan,” jelas YB Dato’ Setia.
“Alhamdulillah, saya memuji usaha TH yang sentiasa komited dalam menyokong pelbagai inisiatif ke arah melestarikan pembangunan dan kemajuan diri, masyarakat dan negara khususnya komuniti Islam melalui pembayaran zakat dan program CSR Zakat TH,” tambah YB Dato’ Setia.
Program Iqra’ IPTA 2023 ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.5 juta disumbangkan kepada 20 IPTA terpilih seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 mahasiswa dalam kalangan asnaf dan B40.
Tambahan itu, YB Dato’ Setia juga berkata sumbangan ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa terpilih untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang, seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga pada masa hadapan.
Program Iqra’ TH yang telah dilancarkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah membantu 100,000 pelajar IPTA asnaf dan yang memerlukannya dengan bantuan berjumlah lebih RM34 juta.
Program Iqra’ TH pada mulanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah namun TH telah meluaskan bantuan sasaran kepada pelajar asnaf dan B40 yang mengikuti pengajian di peringkat menara gading.
TH sentiasa komited dalam menjalankan program-program CSR bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari.
-Tamat-