OPERASI HAJI 1438H
a.YB Dato’ Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH telah menyempurnakan majlis menyambut ketibaan penerbangan jemaah haji terakhir dari Tanah Suci.
b.Turut hadir pada majlis tersebut ialah ialah YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH disertai barisan Pengurusan Kanan TH.
c. Seramai 268 orang Jemaah Haji melalui pesawat MH8325 telah selamat tiba di KLIA pada 5 Oktober 2017 pada pukul 1:00 tengah hari. Ini adalah ketibaan penerbangan pulang kumpulan terakhir Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Air.
d. Kumpulan jemaah haji ini telah berlepas dari Jeddah pada Rabu 4 Oktober 2017 pukul 10.25 malam (waktu Arab Saudi).
e. Sebanyak 119 penerbangan terlibat bagi Fasa 2 untuk penerbangan balik.
f. Operasi haji tahun ini secara keseluruhannya berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini dan Jemaah Haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadat haji mereka dengan sempurna tanpa sebarang masalah besar.
g. Ucapan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi terutama Kementerian Haji Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta Kedutaan Besar DiRaja Arab Saudi di Malaysia yang telah membantu Tabung Haji dalam menjayakan operasi haji pada tahun ini.
h. Syabas diucapkan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kejayaan menguruskan jutaan jemaah haji pada tahun ini dengan baik di samping usaha-usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan demi keselesaan dan keselamatan para jemaah haji.
i. Pada musim ini, jumlah jemaah haji negara yang meninggal dunia adalah seramai 69 orang (sehingga 5 Oktober 2017).
Perkara | Lelaki | Perempuan | Jumlah |
---|---|---|---|
Sebelum Wukuf | 13 | 7 | 20 |
Semasa hari Wukuf dan Tasyrik | 7 | 3 | 10 |
Selepas Wukuf | 21 | 18 | 39 |
Jumlah | 41 | 28 | 69 |
j. Semua jenazah jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci telah diuruskan dengan baik dan dikebumikan di sana.
k. TH juga telah melaksanakan Badal haji untuk jemaah haji yang meninggal dunia sebelum wukuf.
l. Pihak Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH juga telah menziarah kesemua waris-waris jemaah haji tersebut bagi memberi sokongan moral dan menyerahkan sedikit sumbangan dari TH.
m. Sehingga hari ini seramai 5 orang jemaah haji negara masih dirawat di Hospital Arab Saudi di Tanah Suci.
SURAT TAWARAN HAJI 1439H
a. Surat tawaran untuk menunai haji bagi tahun hadapan (Musim Haji 1439H/2018M) akan dikeluarkan bermula Awal November 2017, secara berperingkat-peringkat.
b. Para pendeposit / para bakal jemaah dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat masing-masing (seperti alamat, nombor telefon, maklumat waris dan sebagainya) dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan mereka. TH mempunyai 125 cawangan di seluruh Malaysia.
USAHA PENAMBAHBAIKAN BERTERUSAN
a. TH sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua Jemaah Haji Malaysia setiap tahun. Kesemua sudut operasi akan dinilai dengan terperinci dan sekiranya terdapat kelemahan, ia akan diperbaiki. TH juga akan mengenalpasti peluang bagi penambahbaikan di masa hadapan.
b. Borang kaji selidik telah diedarkan kepada para jemaah haji sebelum mereka pulang ke Tanah Air. Daripada maklumbalas ini, pihak TH akan menentukan tahap kepuasan jemaah haji atas perkhidmatan yang telah diberikan.
c. Sehubungan dengan itu, pihak TH akan mengadakan sesi pascanilai haji (post-mortem) seawal bulan November 2017, bagi meneliti maklumbalas yang diterima dari semua sudut operasi dan akan memperbaiki setiap kelemahan demi menyantuni Tetamu Allah pada masa akan datang.
d. TH dalam proses mendapatkan pensijilan ISO versi baru oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. iaitu ISO 9001:2015 : Pengurusan & Operasi Perkhidmatan Haji di Malaysia & Arab Saudi. Pensijilan ini membuktikan pengurusan haji oleh Tabung Haji adalah bertaraf antarabangsa dan membanggakan.
e. TH juga akan menganjurkan Muzakarah Haji selewat-lewatnya bulan Disember bagi membincangkan isu-isu berkaitan hukum-hakam ibadat haji dan mencadangkan resolusi bersesuaian sebagai rujukan pada musim haji akan datang sekiranya perlu.
f. Mesyuarat bersama Kementerian Haji Arab Saudi juga akan diadakan pada Januari 2018 bagi bertukar pandangan dan membincangkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada musim haji akan datang.
h. Terima kasih juga atas sokongan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan-Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berkaitan antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Malaysia Airlines, Saudia Airlines, Malaysia Airports, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan sebagainya, yang telah banyak membantu memudah dan melancarkan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci pada musim haji kali ini.
###Tamat###
MAJLIS SAMBUTAN KETIBAAN PULANG KUMPULAN TERAKHIR JEMAAH HAJI MUSIM HAJI 1438H 2017M