KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima sumbangan bernilai RM 4.8 juta daripada 31 syarikat korporat melalui program Sahabat Koporat TH bagi membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata salah satu faktor kejayaan TH pada setiap musim haji adalah atas hasil komitmen serta keprihatinan yang berterusan daripada Sahabat Korporat TH yang jelas membantu memudahkan urusan Jemaah Haji Malaysia ketika di Makkah dan Madinah.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua 57 buah agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi Musim Haji 1445H.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi di Malaysia, Tuan Yang Terutama Mesaad Ibrahim Al Sulaim di atas kerjasama, bantuan serta sokongan baik yang diberikan sepanjang operasi haji berjalan.
“Malaysia telah dipilih sekali lagi untuk pelaksanaan Program Pra-Perlepasan Imigresen Arab Saudi atau ‘Makkah Route’ dimana ia ternyata memendekkan masa bagi urusan imigresen para jemaah setibanya mereka di Tanah Suci,” kata YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im ketika di Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah di Menara TH.
Majlis yang dianjurkan ini adalah bagi merakamkan tanda penghargaan TH kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci yang melibatkan para petugas haji, anggota agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam menjayakan operasi haji tahun 1445H/2024M.
Antara sumbangan yang diterima daripada Sahabat Korporat TH adalah wang tunai dan barang keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian bagi memudahkan urusan para jemaah sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im juga mengalu alukan agar lebih banyak badan-badan korporat untuk tampil memberikan sokongan dengan menyertai program ini pada musim-musim haji akan datang demi untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan para jemaah menunaikan ibadah haji.
-TAMAT-