TENOM, 14 SEPTEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang kenderaan van jenazah kepada Masjid Ar Rahim Kampung Jawa, Melalap, Tenom, Sabah di Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH Tahun 2023 peringkat Negeri Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Haji Na’im Haji Mokhtar berkata Program Mobiliti TH ini telah menyumbang sebanyak 136 buah kenderaan kepada masjid-masjid, surau, Pusat Tahfiz serta rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 orang.
“Usaha TH melaksanakan Program Mobiliti memberi sumbangan van jenazah dan van penumpang kepada masjid, surau dan insititusi kebajikan terpilih di seluruh negara sejak tahun 2016 lagi merupakan usaha yang amat terpuji dan harus diteruskan demi kemaslahatan Ummah dalam menyempurnakan fardu kifayah,” kata YB Dato’ Setia.
Beliau turut menyeru agensi-agensi agama serta badan-badan korporat Malaysia Madani yang lain untuk terus melaksanakan inisiatif-inisiatif murni seperti Program Mobiliti dan program Tanggungjawab Korporat (CSR) lain yang dapat membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berharap sumbangan van ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak masjid.
“Insya Allah, TH akan berusaha untuk melaksanakan program-program CSR zakat seperti ini pada setiap tahun dan memastikan golongan sasaran mendapat faedah serta manfaat dari kesemua program yang dijalankan,” tambah beliau.
Program Mobiliti TH pada awalnya menyumbang kenderaan van dwi-fungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang. Pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak.
Tahun ini, TH menyumbang sebanyak 25 van jenazah dan 15 van penumpang kepada masjid, surau dan pusat jagaan berdaftar di seluruh negara.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH, Haji Ahmad Shahriman Johari, Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Sa’id serta Pengerusi Masjid Ar Rahim Kampung Jawa, Cikgu Sani Awang Ali turut hadir ke majlis serahan tersebut.
-Tamat-