Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyambut kepulangan pertama Jemaah Haji Malaysia dari Tanah Suci bagi
Musim Haji 1438H | 2017M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH disertai barisan Pengurusan Kanan TH.
Kumpulan pertama Jemaah Haji ini telah berlepas dengan pesawat FLYNAS (XY9033) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada hari Rabu, 6 Sept 2017 (2:23 petang; waktu Arab Saudi) dan tiba di Tanah Air
pada hari Khamis, 7 Sept 2017 (5:05 pagi; waktu Malaysia). Penerbangan ini membawa seramai 414 orang penumpang.
Sebanyak 119 penerbangan akan terlibat bagi fasa kedua penerbangan balik ini yang dijangkakan akan berakhir pada 5 Oktober 2017.
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan Pengurusan Kanan TH mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada para Jemaah Haji yang telah selesai menunaikan fardhu haji
dengan selamat. Ketibaan para Jemaah Haji juga disambut gembira oleh ahli keluarga dan saudara mara.
Menurut beliau lagi, TH amat bersyukur kerana pada tahun ini, operasi haji berjalan dengan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden besar yang tidak diingini. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua Jemaah Haji, ahli keluarga Jemaah Haji dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan operasi haji negara.
TH juga mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pelaksanaan operasi haji tanah air (OHTA) iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen Arab Saudi dan Malaysia Airlines Berhad.
KUMPULAN PERTAMA JEMAAH HAJI DARI TANAH SUCI TIBA DI KLIA.pdf