MELAKA, Khamis, 2 Ogos 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan majlis penyampaian sumbangan zakat sempena Aidilfitri kepada seramai 150 orang golongan asnaf yang diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.
Dalam majlis penyerahan sumbangan zakat sempena Aidilfitri peringkat negeri Melaka, penerima sumbangan zakat terdiri daripada 82 orang ibu tunggal dan 68 orang warga emas yang dijemput khas dari sekitar daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin menerima sumbangan zakat beserta biskut raya bernilai RM500 yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Majlis yang dianjurkan pada setiap bulan Ramadan ini juga merupakan salah satu platform TH untuk mendekati dan mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dengan komuniti setempat. Tahun ini TH mensasarkan agihan zakat sejumlah RM1.3 juta kepada golongan asnaf di seluruh negara. Agihan sumbangan zakat kepada golongan asnaf ini tidak melibatkan agihan zakat yang telah dibayar secara terus oleh TH kepada pusatpusat zakat di setiap negeri. “Sebagai sebuah institusi Islam, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap Negeri di seluruh Malaysia. Pembayaran zakat ini penting untuk memastikan pusat zakat memperolehi kutipan serta usaha untuk membantu dan memastikan pembangunan untuk kesejahteraan masyarakat Islam khususnya golongan asnaf dapat dijalankan secara berterusan”, kata Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji.
Selain program Ramadan, TH juga turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti program pembinaan rumah, kesihatan serta pendidikan di setiap negeri di seluruh Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Haji Yaakub bin Md Amin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Yang Berbahagia Datuk Haji Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Negeri, barisan pengurusan Tabung Haji Negeri dan keluarga penerima.
-Tamat