KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan pelaburannya dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan di kota raya London pada 12 Julai 2022 lalu.
Pembelian bangunan berstatus pegangan bebas (freehold) ini adalah tambahan kepada senarai pelaburan TH yang mempunyai portfolio hartanah di United Kingdom (UK) sejak tahun 2012. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata hartanah ini merupakan pejabat kerajaan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom.
“Pemilikan hartanah tersebut akan memberikan pulangan jangka panjang yang baik kepada TH kerana:-
- Kontrak sewaan yang panjang.
- Kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa.
- Kadar sewaan yang menaik setiap tahun; dan
- Nilai pasaran yang stabil.
“Ianya juga selaras dengan objektif pelaburan TH, untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi,” kata beliau.
Tambahnya lagi, bangunan pejabat enam tingkat berkeluasan 179,869 kaki persegi dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria itu terletak di lokasi strategik di daerah perniagaan terbesar di West End London dan merupakan hab komersial yang berkembang pesat ketika ini dan pada masa hadapan.
Victoria juga menempatkan banyak pejabat kerajaan dan sektor awam kerana lokasinya yang berdekatan dengan bangunan Parlimen di samping akses mudah kepada semua pengangkutan awam utama termasuk stesen keretapi awam bawah tanah Pimlico, Westminster dan Victoria, serta laluan-laluan utama lain. London masih merupakan hab kewangan yang menarik banyak peluang perniagaan semasa dan untuk jangkamasa panjang, justeru amat baik untuk pasaran hartanah.
TH sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang pelaburan hartanah bagi memastikan ianya memberi:-
(i) Pulangan segera untuk menampung kos haji tahunan dan agihan keuntungan tahunan; dan
(ii) Pulangan jangka panjang yang stabil dan selamat bagi kesinambungan Tabung Haji dan pendepositnya.
TH memperuntukkan kira-kira 11 peratus daripada RM 88 billion dana miliknya untuk pelaburan dalam sektor hartanah di dalam dan di luar negara.
“TH kini giat meninjau peluang meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah luar negara dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan kerana ia dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk memperoleh pulangan kompetitif dan konsisten untuk 8.5 juta pendeposit TH,” jelas beliau.
-Tamat-