KUALA LUMPUR, 28 Jun 2018: Lembaga Tabung Haji (TH) bakal menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1439H/2018M secara berperingkat di 17 lokasi seluruh Negara (pada hujung minggu) bermula pada 29 Jun 2018 ini sehingga 8 Julai 2018.
Kursus Perdana Haji (dua hari satu malam) ini merupakan kursus terakhir yang dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji berkaitan ibadah haji terutamanya dari segi praktikal serta platform untuk memberikan maklumat terkini sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Bakal jemaah disarankan hadir bagi memahami dengan lebih terperinci mengenai ibadat haji melalui latihan amali secara simulasi seperti bertawaf, saie, melontar jamrah serta amalan dan beribadah secara berkumpulan. Simulasi secara berkumpulan ini memberikan pendedahan terhadap situasi di Tanah Suci yang akan dikunjungi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
Ini juga merupakan peluang terbaik untuk para bakal jemaah bertanyakan dengan pegawai-pegawai TH serta Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) mengenai sebarang kemusykilan mengerjakan ibadah haji.