Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1440H/2019M secara berperingkat di 14 lokasi seluruh Negara bermula 21 Jun sehingga 29 Jun 2019.
Kursus Perdana Haji yang berlangsung selama dua hari satu malam ini adalah kursus terakhir anjuran TH sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia. Ia juga merupakan sesi untuk pihak TH memberi informasi terkini kepada 30,200 bakalbakal haji sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci yang akan dibimbing oleh seramai 56 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) bertauliah dan dibantu oleh petugas TH di setiap negeri.
YBhg. Dato’ Sri Zukri berkata, objektif utama TH menganjurkan Kursus Perdana Haji ini adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan serta berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak. Bakal-bakal haji akan melalui latihan praktikal seperti bertawaf, sa’ie, melontar jamrah dan ibadat lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di Tanah Suci yang sesak dipenuhi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
“Kami menyeru semua bakal haji terpilih pada tahun ini untuk hadir ke Kursus Perdana Haji yang akan diadakan di negeri masing-masing. Ambil peluang ini untuk mengulang kaji dan jika ada sebarang persoalan, bertanya terus kepada ustaz-ustaz yang ada bersama semasa kursus berlangsung. Ini penting untuk kesempurnaan ibadat haji yang akan dilaksanakan nanti dalam usaha memperoleh Haji yang Mabrur”, tambah beliau lagi.
Kebajikan para jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan TH dan penganjuran kursus-kursus haji termasuk Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Khas Haji bagi warga emas merupakan antara program bimbingan yang disediakan secara percuma dalam membantu memantapkan ilmu berkaitan ibadah haji kepada bakal-bakal Jemaah Haji Malaysia.
Penerbangan pertama Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1440H/2019M ini akan bermula dari 4 Julai 2019 dan berakhir pada 4 Ogos 2019.
Siaran Akhbar - TH saran bakal jemaah haji ikuti Kursus Perdana Haji - FINAL 20062019.pdf