Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mempersembahkan Zakat TH berjumlah RM 3,407,678.26 bagi tahun kewangan berakhir 2018 ke hadapan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir – di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah.
DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada Tuan Haji Wahid Ali bin Mohd Khalil, Ketua Audit Dalam TH. Bayaran zakat bagi Negeri Sembilan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 27.8% berbanding tahun 2017 (RM2,666,415.64).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf,” kata Tuan Haji Wahid Ali bin Mohd Khalil.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di Negeri Sembilan bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YAB Dato’ Seri Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan; Sohibus Samahah Dato’ Hj. Mohd Yusof Bin hj. Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan; Ybhg. Dato’Hj. Mohamed Bin Hj. Husein; Pengerusi MAINS; Tuan Nor Azmi Bin Haji Musa, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan; Tuan Haji Khairoddin Bin Ahmad, Pengarah TH Negeri Sembilan; wakil pengurusan MAINS dan anggota-anggota TH.