Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mempersembahkan Zakat TH berjumlah RM 6,522,964.21 bagi tahun kewangan berakhir 2018 ke hadapan KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Dato’ Ahmad Ruzman bin Ahmad Razali, Pengurus Besar (Operasi Domestik) TH. Bayaran zakat bagi Terengganu ini mencatatkan peningkatan sebanyak 26.4% berbanding tahun 2017 (RM5,162,195.54).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf,” kata YBhg. Dato’ Ahmad Ruzman bin Ahmad Razali.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) ke arah kemampanan program-program zakat yang di rangka di negeri Terengganu bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61).
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Dato’ A. Rahman Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Dr. Haji Zulkiply Bin Muda, Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu; Tuan Haji M Rozi bin Haji Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM; YBhg. Dato’ Mohyen bin Mosman, Pengarah TH Negeri Terengganu; wakil pengurusan MAIDAM dan anggota-anggota TH.
30052019_PR_MAIDAM TERIMA ZAKAT TH BERJUMLAH RM6.52 JUTA.pdf