SEPANG, 17 Mei 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meluaskan perkhidmatan kepada lebih sembilan (9) juta pendepositnya dengan memulakan operasi pejabat cawangan baharunya di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Sepang, KLIA hari ini.
Pembukaan cawangan TH Sepang menunjukkan kesungguhan TH untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan terbaik bagi para pendeposit di daerah Sepang dan kawasan sekitar serta bakal jemaah haji yang akan berlepas melalui MHCC KLIA.
Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi urusan pembukaan akaun, simpanan dan pengeluaran, mengemaskini akaun, pendaftaran haji dan sebagainya.
Pembukaan Pejabat Cawangan TH Sepang ini juga berkonsepkan sebagai Pusat Khidmat Kewangan Islam (IFiC). IFiC akan turut menempatkan agensi Islam lain yang bergabung di bawah satu bumbung untuk menjalankan urusan muamalat iaitu sistem kewangan Islam bersepadu - seperti Tabung Haji Travel & Services (THTS) dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad.
Para pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, mereka boleh berhubung terus dengan TH Contact Centre (THCC) di talian 03 - 6207 1919 atau emel kepada th-info@lth.gov.my.
-TAMAT-