Kuala Lumpur, Khamis, 10 Mei 2012, Lembaga Tabung Haji menawarkan biasiswa kepada 15 orang Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan anakanak anggota bagi membiayai pengajian di dalam atau luar negara.
Majlis pelancaran biasiswa berkenaan telah disempurnakan oleh Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sejajar dengan usaha Tabung Haji untuk membantu Malaysia membentuk generasi ‘profesional mukmin’, Tabung Haji telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM5 juta untuk Skim Biasiswa berkenaan.
Datuk Ismee berkata, inisiatif Tabung Haji melalui tanggungjawab korporat (CSR) ini diharap dapat membantu pelajar membiayai kos pembelajaran dan sara hidup bahkan juga membangunkan modal insan bagi melahirkan insan berkemahiran.
“Skim Biasiswa ini bermatlamat membantu membentuk generasi kini yang lebih profesional, cekap dan bersedia dalam mendukung usaha-usaha pembangunan negara (nation building) yang akan menjadikan Tanah Air kita lebih berpengaruh dari segi ekonomi dan politik di pentas antarabangsa”, katanya lagi.
Dato’ Seri Jamil Khir berkata, iltizam dan komitmen Tabung Haji dalam memastikan perkembangan modal insan melalui Skim Biasiswa ini wajar dipuji kerana ia memberikan peluang keemasan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading khasnya anak-anak anggota Tabung Haji.
“Tabung Haji bersetuju memberikan biasiswa kepada pelajar yang mencatatkan keputusan sekurang-kurangnya 8A untuk universiti tempatan manakala 8A+ bagi pengajian di luar negara setelah melalui sistem saringan temu duga oleh Jawatankuasa Pemilihan. Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka, katanya.
Anugerah Biasiswa tersebut disampaikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom. Turut hadir Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari bin Mohamed Nor, Pengerusi Tabung Haji dan Datuk Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
-Tamat-