KUALA LUMPUR, 21 APRIL 2022 - Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik pengumuman Kerajaan Arab Saudi yang memberikan kuota sebanyak 14,306 kepada Jemaah Haji Malaysia bagi menunaikan ibadat haji pada tahun 1443H/2022M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata, berita ini merupakan satu berita baik buat TH dan bakal Jemaah Haji Malaysia.
“Kuota yang diagihkan kepada Jemaah Haji Malaysia adalah dalam lingkungan 45 peratus dari jumlah kuota sebelum ini. Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi, dan yakin penilaian serta penelitian semua aspek telah dibuat bagi memastikan keselamatan para jemaah haji yang datang dari segenap pelusuk dunia terjamin” tambah beliau.
Menurut Dato’ Sri Amrin lagi, TH telah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi Haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci.
Kuota haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum ini adalah 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara. Pada tahun 2019, kuota haji Malaysia adalah 31,600 orang. Namun pada tahun ini ibadat haji hanya dibenarkan untuk 1 juta jemaah sahaja mengambil kira kriteria penjagaan kesihatan berbanding sekitar 2.5 juta jemaah pada tahun 2019.
Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji yahg giliran tunai haji mereka pada tahun 2020, diikuti giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan. Rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga telah dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.
TH ingin menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk sijil vaksinasi Covid-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa. TH akan membuat pengumuman dari masa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah.
-Tamat-