PEKAN, 16 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM2,809,096.64 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dalam satu majlis ringkas di pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pekan, Pahang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merangkap Yang Dipertua MUIP telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin, Ahli Lembaga Pengarah TH. Pembayaran zakat bagi negeri Pahang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 1.04% berbanding RM2,780,235.93 (2015).
YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
“TH memastikan pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan sebelum suku tahun pertama berakhir agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri. Saya menyarankan syarikat-syarikat korporat dan persendirian yang lain membayar zakat kepada Pusat Zakat Negeri-negeri agar mereka dapat melaksanakan program secara lebih terancang dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Hj Abdul Wahid Bin Hj. Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua MUIP merangkap Pengerusi Pusat Kutipan Zakat Pahang; YH Dato’ Hj Halidan Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Ahli-ahli Lembaga Pengarah MUIP, pegawai-pegawai Pusat Kutipan Zakat Pahang dan TH.
-Tamat