|
KUALA LUMPUR, 24 Feb 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus (selepas zakat) yang akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya bagi tahun 2021 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.46 bilion. Jumlah keuntungan yang diagih bagi tahun 2021 adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion yang telah diagih bagi tahun kewangan 2020.
Agihan keuntungan ini adalah selepas mengambil kira zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit TH. Pendeposit TH tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya faktor di mana kadar agihan bagi tahun 2021 adalah lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus. Kadar tersebut telah mengambil kira peruntukan zakat sebanyak RM107 juta yang akan dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit.
Kadar pulangan tahun 2021 juga adalah selepas mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas dan juga keperluan untuk TH :
- Mengagihkan keuntungan secara berhemah dan mampan mengikut kemampuannya.
- Membina pegangan rizab bagi mempastikan kedudukan kewangan TH terus kukuh untuk masa hadapan.
YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menzahirkan rasa syukur atas agihan keuntungan yang kompetitif berbanding kadar pasaran meskipun pelaburan TH terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sukar dan masih terkesan dari pandemik Covid-19 yang berterusan pada tahun 2021.
“Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit. Insya-Allah, selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur TH. Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH,” kata YB Senator Datuk Haji Idris.
TH akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangannya memandangkan keadaan ekonomi negara semakin beransur pulih setelah pergerakan dan aktiviti perniagaan dibenarkan secara berperingkat dari suku ketiga tahun 2021. Ekonomi negara pula dijangka akan terus berkembang pada tahun 2022.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Jumaat, 25 Feb 2022 sehingga pukul 12 tengah hari, Sabtu, 26 Feb 2022, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.
Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, Ahad, 27 Feb 2022 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
SOROTAN PRESTASI 2021
TH telah mencatat pendapatan sebanyak RM3.24 bilion bagi tahun 2021 berbanding RM3.15 bilion bagi tahun 2020, iaitu peningkatan sebanyak 2.9 peratus. Pelaburan pendapatan tetap dan ekuiti telah menyokong ketahanan pendapatan pada tahun 2021 dengan menyumbang lebih dari 70 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Pelaburan pendapatan tetap (sukuk) telah menjana RM1.70 bilion yang merangkumi 52 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya. Pendapatan daripada pelaburan ekuiti telah menyumbang sebanyak RM0.65 bilion yang merangkumi 20 peratus daripada jumlah pendapatan bagi tahun 2021 dan adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding RM0.47 bilion bagi tahun 2020. Pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM0.42 bilion manakala pelaburan pasaran wang Islam menjana pendapatan sebanyak RM0.29 bilion.
Setelah mengambil kira perbelanjaan, peruntukan zakat dan keuntungan dagangan saham, TH mencatatkan keuntungan boleh agih sebanyak RM2.48 bilion bagi tahun 2021, meningkat sebanyak 2.1 peratus berbanding RM2.43 bilion bagi tahun 2020.
“Alhamdullilah, kami bersyukur TH telah berjaya mencatat kadar keuntungan dan tahap aset dan deposit yang baik pada tahun 2021 walaupun keadaan ekonomi dan pasaran masih belum cukup pulih. Pengurusan operasi dan kewangan Insya-Allah akan terus diuruskan dengan baik dan teliti demi untuk mengimbangkan antara kehendak agihan semasa dan kepentingan dan kelestarian masa depan para jemaah dan pendeposit,” kata Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengerusi TH.
Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021. Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat (4) peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah. Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh Kerajaan telah mencecah RM83.33 bilion. Jumlah ini adalah yang tertinggi didalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya.
“TH akan menumpukan usaha untuk beroperasi dengan lebih cekap dan dengan perbelanjaan berhemah. Kami juga terus mengambil langkah untuk memulihkan pelaburan yang terkesan disebabkan keadaan ekonomi dan pasaran yang mencabar akibat wabak COVID-19 sejak dua tahun yang lalu,” kata Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
PELAN STRATEGIK TUMPUAN 2022
Bagi tahun ini, TH akan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan tadbir urusnya.
“Sebagai contoh, hampir kesemua pelaburan TH hari ini adalah di dalam negara. Untuk memastikan pulangan yang lebih mampan, TH akan mempelbagaikan portfolio pelaburan dengan meningkatkan pelaburan luar negara secara berkala dengan mengambil kira risiko yang berpatutan,” tambah Dato’ Sri Amrin.
Ekonomi negara dijangka akan terus pulih pada tahun ini dengan sokongan aktiviti perniagaan dan pelaburan secara amnya, namun TH akan mengambil langkah berhati-hati kerana masih terdapat risiko kemunculan varian baru virus Covid-19 yang boleh menggugat pemulihan ekonomi.
-Tamat-