KAJANG, 22 FEBRUARI 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang RM1 juta bagi Program ‘Pusat Audiometrik Bergerak (Mobile Hearing)’ yang pertama kali diadakan dengan kerjasama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) untuk membantu para asnaf yang mempunyai masalah pendengaran.
Program bersepadu ini merangkumi tiga aspek utama iaitu penyediaan Pusat Audiometrik Bergerak, program saringan dan pemberian alat bantuan pendengaran untuk asnaf.
Pusat Audiometrik Bergerak telah memulakan siri jelajahnya bermula tahun lepas dan mensasarkan sekurang-kurangnya 500 saringan percuma sebulan atau 6,000 saringan setahun.
Majlis Perasmian Pusat Audiometrik Bergerak telah diadakan di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Sg Ramal Dalam, Kajang yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Malaysia mempunyai seramai 44,208 orang kelainan upaya (OKU) dari golongan dewasa dan kanak-kanak yang berdaftar sehingga 30 September 2023. Manakala, empat daripada 1,000 bayi yang menjalani Saringan Pendengaran Universal Neonatal (UNHS) di 44 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dikenal pasti mengalami masalah pendengaran jenis kekal.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar memuji usaha TH melaksanakan program bersama YAPEL ini yang merupakan antara inisiatif baharu di bawah Program A’fiat Tabung Haji.
“Tahniah dan syabas kepada Tabung Haji atas inisiatif baharu di bawah program Zakat CSR TH yang melibatkan golongan yang bermasalah deria pendengaran,” kata Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.
“Saya berharap dengan adanya Pusat Audiometrik Bergerak ini, golongan sasar akan dapat didekati dan mereka akan berpeluang membuat pemeriksaan secara percuma oleh pakar, sekaligus memberi keselesaan dan membantu kehidupan mereka seterusnya, Insya-Allah,” tambah Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.
Kenderaan audiometrik telah mula bergerak di kawasan sekitar Lembah Kelang dan Selangor serta merancang untuk merentasi seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im juga menyeru agensi-agensi agama serta badanbadan korporat Malaysia lain untuk turut melaksanakan inisiatif-inisiatif murni seperti Program A’fiat ini dan pelbagai lagi program kesihatan lain bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata, “TH akan meneruskan usaha-usaha seperti ini bagi membantu lebih ramai lagi golongan daif, fakir dan miskin serta yang memerlukan demi meringankan beban dan tekanan kos sara hidup”.
Bagi program ini, TH menyerahkan sebuah kenderaan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak, lengkap dengan 2 unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukannya.
Program Pusat Audiometrik Bergerak merupakan sebahagian daripada ‘Projek Pelangi Hearing Malaysia’ diuruskan oleh YAPEL dengan sumbangan masa dan tenaga sukarelawan profesional dari bidang kesihatan. YAPEL yang sebelumnya bergerak atas platform ‘Projek Pelangi – Dari Asnaf Kepada Asnaf’ kelolaan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) telah memberi manfaat kepada lebih kurang 50,000 penerima melalui puluhan projek komuniti, pendidikan dan kesihatan. YAPEL diperbadankan pada 2021 dalam usaha untuk memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
-Tamat-