KUALA LUMPUR, 22 Februari 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyenaraikan sebanyak 19 buah syarikat pelancongan tempatan yang dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH). PJH yang disenaraikan ini merupakan agensi yang diluluskan oleh TH untuk menawarkan perkhidmatan pakej haji bagi musim haji 1439H/2018M.
Bakal-bakal haji yang telah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini dan berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji adalah disarankan menggunakan perkhidmatan pakej haji melalui PJH yang diluluskan oleh TH sahaja.
Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
TH juga berharap agar orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu perseorangan untuk menjadi perantara/orang tengah/ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.
Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh didapati dari mana-mana Pejabat Cawangan TH atau dengan melayari laman sesawang (http://www.tabunghaji.gov.my) dan di Lampiran A.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC)di talian 03-6207 1919.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-TAMAT-
SIARAN AKHBAR TH - PENGELOLA JEMAAH HAJI BAGI MUSIM HAJI 1439H 2018M.PDF