KUALA LUMPUR, Khamis, 7 Februari 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah mengumumkan Bonus Jubli Emas 2012 kepada para pendeposit TH dengan kadar sebanyak 6.5% sebagai bonus tahunan dan tambahan bonus khas sebanyak 1.5% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012. Majlis pengumuman Bonus Jubli Emas TH 2012 yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Ibu Pejabat TH, telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kadar bonus tahunan ini menunjukkan peningkat sebanyak 27% kepada RM2.13 bilion berbanding RM1.68 bilion pada tahun 2011. Jumlah pembayaran keseluruhan Bonus Jubli Emas TH sebanyak RM2.46 bilion yang merangkumi pembayaran Bonus Tahunan sebanyak RM2.13 bilion dan Bonus Khas sebanyak RM325 juta, adalah merupakan yang tertinggi sejak 50 tahun penubuhan TH.
Menurut YB. Dato’ Seri Jamil Khir, “Selari dengan konsep simpanan pendeposit TH yang berlandaskan Al-Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu simpanan yang dijamin kerajaan, di mana kadar pemberian pulangan kepada pendeposit adalah berdasarkan budi bicara atau hadiah dari TH. Sempena Sambutan Jubli Emas TH, pengurusan TH berusaha untuk memberikan hadiah istimewa kepada para pendeposit”.
Bonus Jubli Emas TH 2012 ini adalah untuk menghargai kesetiaan para pendeposit yang sentiasa yakin dan aktif menabung dana di TH. Kedudukan kewangan TH yang sentiasa positif dan kukuh serta lebihan wang Rizab yang telah dikumpul selama 7 tahun (2006 – 2012) adalah antara faktor penyumbang pembayaran bonus istimewa ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi TH dan YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH,
- Tamat -