Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim Pengerusi, TH;
Yang Berbahagia Tan Sri Ismee Ismail Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH;
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ,
Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan TH;
Barisan Pengurusan Kanan TH, Wakil-wakil Media Massa, Tuantuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih kerana sudi hadir membuat liputan pada hari ini.
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kita dapat samasama berkumpul di sini untuk Pengumuman Bonus Pendeposit TH bagi Tahun Kewangan 2015.
Pengumuman bonus pendeposit kali ini tidak lewat seperti yang diperkatakan. Ianya adalah sama seperti pengumuman pada tahun-tahun sebelum ini yang selalunya dilakukan TH di antara bulan Januari hingga Mac.
Tidak dinafikan, tahun 2015 merupakan tahun yang amat mencabar bagi Malaysia. Kita dibelenggu oleh keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ditambah dengan kejatuhan harga minyak dan matawang serta kelembapan pasaran saham.
TH sendiri telah melalui pelbagai cabaran getir sewaktu Operasi Haji Musim 1436H lalu, seperti insiden Kren Tumbang di Masjidilharam dan Rempuhan di Mina yang telah meragut lapan (8) nyawa Jemaah Haji Negara kita. Alhamdulillah, tragedi yang berlaku, dapat kita hadapi bersama dengan baik, tanpa mengganggu kelancaran operasi haji secara keseluruhannya.
Sebelum saya mengumumkan bonus dan prestasi kewangan TH, ingin saya mengingatkan semua pendeposit bahawa simpanan mereka di TH adalah berlandaskan konsep Al-Wadi’ah Yad Dhamanah di mana simpanan dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan manakala bonus kepada pendeposit adalah hibah atau hadiah berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa dan mengikut budi bicara TH.
Namun saya perhatikan pada setiap tahun, rata-rata pendeposit mengambil pendekatan bahawa ‘hibah’ ini adalah wajib dibayar oleh TH. Ingin saya tekankan sekali lagi, walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ianya tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai “urf” (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah.