Yang Berhormat Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim
Pengerusi, TH
Yang Berbahagia Dato’ Paduka Ismee Ismail
Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH
Yang Di Hormati, Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan TH
Barisan Pengurusan Kanan TH, Wakil-Wakil Media Massa,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih kerana sudi hadir membuat liputan pada petang ini.
Saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana kita dapat bersama sama hari ini untuk Pengumuman Bonus Pendeposit TH bagi Tahun Kewangan 2013.
Pada tahun 2013 yang lalu, prestasi ekonomi Negara berkembang baik pada kadar 4.5% hingga 5.0% yang disokong oleh kekuatan sektor-sektor domestik, khususnya sektor perkhidmatan, pembinaan, minyak dan gas.
Kestabilan serta kekuatan sektor domestik, kerancakan pasaran modal dan juga pemulihan ekonomi antarabangsa telah memberi manfaat kepada TH, khususnya dalam menjana pulangan pelaburan yang baik, hasil keterlibatan TH secara langsung dan tidak langsung di dalam pelbagai sektor melalui aktiviti-aktiviti pelaburan patuh syariahnya.
Selari dengan tujuan dan konsep penubuhan TH, simpanan di TH adalah untuk merealisasikan impian para pendeposit untuk menunaikan Fardhu Haji. Konsep simpanan yang berlandaskan Al-Wadi’ah Yad Dhamanah ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan manakala bonus kepada pendeposit adalah hadiah berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa dan budi bicara TH.
TH sentiasa merangka pelbagai pelan perniagaan jangka pendek dan panjang bagi memastikan pulangan yang kompetitif kepada para pendepositnya.
Alhamdulillah TH telah mencapai usia setengah abad dan telah menyambut ulang tahun Jubli Emasnya pada tahun lalu. Tahun yang istimewa ini diserikan lagi dengan pencapaian prestasi kewangan yang amat membanggakan.