Kuala Lumpur, 19 Januari 2017 : Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak, syarikat atau individu perseorangan untuk menjadi perantara / orang tengah / pihak ketiga / agen dalam menguruskan hal-hal berkaitan RAYUAN HAJI termasuk rayuan mempercepatkan tempoh penggiliran menunaikan haji.
Pada masa kini, pihak TH mempunyai 123 cawangan termasuk cawangan di UTC seluruh negara dan orang ramai boleh menghantar surat rayuan haji terus ke kaunter-kaunter cawangan berkenaan atau melalui pos. Pihak TH akan mengeluarkan surat perakuan penerimaan rayuan haji pada tahun semasa kepada mereka dan seterusnya rayuan tersebut dimasukkan ke dalam sistem TH untuk tujuan penilaian.
Sehubungan dengan itu, pihak TH ingin menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak, syarikat atau individu perseorangan tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan tersebut dengan bayaran tertentu.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919. B
ahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-Tamat-