KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyumbang dua buah van serbaguna di bawah Program Mobiliti TH kepada Masjid Al Hidayah, Dalat Mukah dan Masjid Nurul Ibadah, Kuala Baram, Miri.
Penyerahan dua buah van tersebut dilakukan satu majlis ringkas oleh Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab di Hotel Raia Convention Centre, Kuching.
Mohamed Ameen berharap pihak pengurusan Masjid Al-Hidayah dan Masjid Nurul Ibadah dapat mengambil manfaat daripada sumbangan ini serta memastikan ianya dapat juga memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan fardhu ain.
“Kami berharap van ini akan digunakan oleh penduduk setempat di Dalat Mukah dan Kuala Beram dalam membantu memudahkan pengurusan jenazah dan aktiviti kemasyarakatan apabila diperlukan,”katanya lagi.
Program Mobiliti TH bermula pada tahun 2016 dengan menyumbang kenderaan van dwi-fungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang. Pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak juga.
Pada tahun ini, TH memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Mobiliti dengan 40 unit van dwifungsi yang akan disumbangkan ke institusi terpilih seperti masjid, surau, rumah-rumah kebajikan dan persatuan berdaftar di seluruh negara. TH telah menyumbang sebanyak 96 unit van serbaguna dan memberi manfaat kepada lebih daripada 300,000 ahli kariah di seluruh negara sejak diperkenalkan enam tahun lalu.
Pada tahun ini (tahun kewangan berakhir 2021), TH telah membayar zakat sebanyak RM101 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat Negeri di seluruh negara.
Selain pembayaran zakat, TH turut melaksanakan Program zakat TH yang memberi sumbangan secara terus kepada asnaf-asnaf terpilih antaranya melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, dan kesihatan serta keusahawanan.
–Tamat –