KUALA LUMPUR, 23 Mei 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan kepada semua pendepositnya yang memilih untuk berurusan di kaunter TH supaya terlebih dahulu membuat janji temu sebelum hadir di mana mana 123 pejabat cawangan TH seluruh Malaysia bermula dari 25 Mei 2021 selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Diperketatkan.
Pendeposit perlu membuat janji temu sebelum berurusan di mana-mana cawangan TH. Pendeposit boleh membuat janji temu dengan melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji temu yang akan dimuat naik bermula pada 24 Mei 2021.
“Para pendeposit yang hadir hendaklah memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup separa muka (face mask) serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat. Bilangan pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara. Pendeposit perlu mendaftar masuk (check-in) dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis TH,” kata Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi TH.
Para pendeposit boleh membuat janji temu untuk berurusan di kaunter bermula jam 9.30 pagi sehingga 1.00 petang setiap hari (kecuali cuti umum dan mingguan).
TH turut menasihatkan dan amat menggalakan pendepositnya mengguna pakai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan melalui THiJARI yang disediakan TH dan pendepositnya juga boleh memilih saluran perkhidmatan elektronik dan dalam talian bank Rakan Strategik TH dan Ejen Kutipan TH di lebih 10 ribu titik sentuh seluruh negara, terutama sepanjang tempoh PKP 3.0 Diperketatkan ini.
Bagi para pendeposit yang ingin mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat awal berkaitan Hibah Amanah dan urusan Pusaka, TH juga menyediakan kemudahan panggilan semula (call back) yang turut boleh diakses melalui laman web TH.
-Tamat
PKP 3.0 - TH GUNA SISTEM JANJI TEMU BAGI URUSAN KAUNTER (FINAL 23052021).pdf