MAKKAH, 18 MEI 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mula mengedarkan kad haji Nusuk bagi musim haji 1445H/2024M secara berperingkat kepada jemaah haji negara hari ini, menjadikan Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian bagi memperkemaskan proses dan meningkatkan langkah keselamatan untuk jemaah.
Kad inovatif yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam format digital dan fizikal ini adalah platform komprehensif yang memudahkan interaksi jemaah haji dengan pihak berkuasa tempatan.
Maklumat komprehensif berkenaan data peribadi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah, selain memberi manfaat daripada pelbagai perkhidmatan untuk memperkayakan pengalaman haji mereka.
Ia juga mempunyai maklumat penempatan jemaah serta tempat-tempat beribadat yang lazim dilawati jemaah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata jemaah Malaysia harus membawa dan menggunakan kad Nusuk ini kerana ia juga akan berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri yang membolehkan jemaah untuk masuk ke tempat-tempat beribadat di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, Kerajaan Arab Saudi sentiasa meneruskan usaha bagi menambahbaik perkhidmatan mereka untuk memperkayakan lagi pengalaman tetamu Allah dari seluruh dunia. TH yakin inisiatif baharu ini akan memberi nilai tambah kepada jemaah negara dari segi kelancaran pergerakan termasuklah keselamatan,” kata Dato’ Sri Syed Saleh.
“Jemaah haji Malaysia diingatkan untuk sentiasa membawa kad nusuk ini bersama-sama mereka dan menjaga kad ini dengan baik kerana ia merupakan sebahagian dari peraturan yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi bagi jemaah haji tahun ini ,” tambah Dato’ Sri Syed Saleh.
Dato’ Sri Syed Saleh menekankan kad itu wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk memudahkan pergerakan mereka antara Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dalam menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.
Inisiatif ini juga adalah untuk memastikan hanya jemaah haji yang mempunyai visa haji yang sah sahaja boleh menunaikan ibadat haji sepertimana peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
-TAMAT-