KUALA LUMPUR, 3 Mei 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembukaan pejabat-pejabat cawangannya secara berperingkat bermula esok, Isnin, 4 Mei 2020 dengan waktu operasi daripada jam 10:00 pagi sehingga 3:00 petang.
Pembukaan operasi TH ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merangsang semula ekonomi negara yang terjejas setelah pelaksanaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Perkhidmatan yang disediakan untuk pendeposit TH adalah terhad kepada urusan pembukaan akaun, aktiviti simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun dan pendaftaran haji. Manakala, semua urusan pengendalian haji (menerima tawaran tunai haji dan penyerahan pasport) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga TH memperolehi keputusan rasmi berkaitan status Musim Haji 1441H/2020 daripada Kerajaan Arab Saudi.
Bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa terjaga, TH akan menjalankan proses saringan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) untuk pendeposit yang hadir untuk berurusan di pejabat cawangan TH. Pendeposit juga dinasihatkan untuk memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial semasa berurusan. Bilangan pendeposit di dalam cawangan akan dihadkan bagi memastikan jarak sosial yang efektif.
Pendeposit juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik, melalui aplikasi THijari atau melalui perbankan internet yang ditawarkan melalui rakan perbankan strategik TH.
TH mengucapkan terima kasih kepada semua pendeposit atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan.
-Tamat-
CAWANGAN TH DIBUKA SECARA BERPERINGKAT BERMULA 4 MEI 2020.PDF