KUALA LUMPUR, 7 JANUARI 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menganjurkan Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan baru-baru ini bertempat di Dewan Besar TH, Menara TH Jalan Tun Razak dan telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH.
Kesinambungan daripada tahun sebelumnya, Musabaqah Cilik TaHa diteruskan dengan objektif utama penganjuran adalah untuk membudayakan pembacaan Al-Quran di kalangan pelajar sekolah dan melahirkan generasi yang cintakan Al-Quran.
Program ini adalah khusus kepada pendeposit TH yang merupakan ahli-ahli Kelab TaHa untuk menunjukkan potensi dan bakat mereka mengalunkan ayat-ayat Al-Quran.
Musabaqah Cilik TaHa 2023 telah dilaksanakan di setiap negeri seluruh Malaysia sejak September dan sambutan daripada pelajar sekolah dan guru-guru amat memberangsangkan dengan lebih 1,000 penyertaan diterima. Johan Qari dan Qariah peringkat negeri seluruh Malaysia seterusnya bertanding di peringkat Wilayah untuk menjadi wakil wilayah masing-masing ke peringkat Kebangsaan.
Johan Qari dan Qariah dari setiap wilayah melibatkan Wilayah Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Timur dan Sabah serta Sarawak seterusnya bertemu di peringkat Kebangsaan untuk merebut gelaran Johan Kebangsaaan Qari dan Qariah Musabaqah Cilik TaHa 2023.
Majlis Musabaqah Cilik TaHa peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Haji Mohamed Ameen bin Abdul Wahab dan dihadiri oleh Pengarah TH Wilayah dan Negeri, ibu bapa peserta serta guru-guru.
Menurut Tuan Haji Mohamed Ameen bin Abdul Wahab, penganjuran pertandingan seperti ini menerusi Kelab TaHa, merupakan inisiatif TH untuk memartabatkan Al-Quran dalam diri pelajar sekolah dan ianya merupakan salah satu usaha TH untuk mendekati pendeposit-pendeposit muda dan ianya juga merupakan satu lagi kelebihan menyimpan di TH.
TH melalui program ini yakin bahawa platfom ini dapat menarik minat pelajar-pelajar sekolah untuk menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mewakili negara di persada antarabangsa, insya-Allah.
Dalam Majlis Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan tahun 2023, adik Muhammad Aqeef bin Ahmad Zuhdi yang mewakili Wilayah Utara telah dinobatkan sebagai Johan Qari manakala adik Nur Qiesya Zhafirah binti Mohammad Ramdan yang mewakili Wilayah Sabah/Sarawak dinobatkan sebagai Johan Qariah. Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan barangan cenderahati Kelab TaHa.
TH menerusi Kelab TaHa berhasrat untuk meneruskan program seperti ini pada tahun-tahun yang akan datang dan merancang penganjurannya diluaskan bagi pelajar sekolah menengah juga.
TH juga akan terus menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti lain yang bermanfaat kepada ahli-ahli Kelab TaHa dari masa ke masa dalam usaha membantu semua pihak bagi membentuk generasi muda yang bersahsiah tinggi dan cemerlang dalam pelbagai aspek.
-Tamat-