Kuala Lumpur, 26 November 2016 : Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini melancarkan Tabung Rohingya Utusan-TH yang disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH di ibu pejabatnya. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama TH dengan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M).
“Pewujudan tabung ini adalah kerjasama antara Kumpulan Utusan, TH dan Kelab Putra 1 Malaysia. Ia merupakan gabungan yang baik kerana Kumpulan Utusan mempunyai kepakaran menyebarkan inisiatif ini kepada masyarakat umum, Kumpulan TH pula mempunyai prasarana dalam membantu memudahkan kutipan, manakala KP1M mempunyai pengalaman dalam misi bantuan kemanusiaan di Myanmar dan negara-negara lain”, kata YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dalam ucapannya.
TH amat bersimpati dengan nasib etnik Rohingya beragama Islam yang di zalimi di Myanmar. Dana yang terkumpul daripada tabung ini diharap dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa penindasan tersebut. Tabung ini akan dibuka selama empat bulan, bermula 1 Disember 2016 sehingga 1 April 2017.
Dalam majlis ini, sejumlah RM283,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan Jakel Trading Sdn Bhd, TH, KP1M, TH Plantations Berhad, TH Travel & Services Sdn. Bhd, TH Properties Sdn. Bhd., Surau TH Ibu Pejabat, Koperasi TH Sdn. Bhd. dan Masjid TH Kelana Jaya.
Sumbangan boleh disalurkan kepada Tetuan Yayasan Kumpulan Utusan akaun Bank Islam 14283010000572. Sumbangan juga boleh dibuat di cawangancawangan TH, mesin-mesin CDM dan transaksi atas talian Bank Islam.
TH merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu bersama TH dalam merealisasikan misi bantuan kemanusiaan ini. TH juga mengharapkan dana yang terkumpul kelak akan dapat disalurkan secepat mungkin secara berperingkat kepada mangsa etnik Rohingya secara sistematik dengan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Wisma Putra.
Turut hadir sama dalam majlis ini adalah YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH; YBhg. Datuk Mohd Noordin Abbas, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan; Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH, wakil-wakil penyumbang, pengurusan serta anggota TH.
-Tamat-