KUCHING, 16 SEPTEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang dua buah van jenazah dan sebuah van penumpang kepada Masjid Darul Halim, Masjid Ar Rahmah dan Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh di Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH Tahun 2023 peringkat Negeri Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Haji Na’im Haji Mokhtar berkata, “Saya berharap pihak pengurusan masjid dan Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh akan menggunakan kenderaan ini dengan baik bagi manfaat ahli kariah, pelajar-pelajar tahfiz serta masyarakat setempat.”
Sementara itu, beliau turut berkata bahawa usaha terpuji ini harus diteruskan demi menjaga kemaslahatan ummah dalam menyempurnakan tuntutan fardu kifayah serta menyantuni keperluan masyarakat muslim setempat.
“Program Mobiliti ini merupakan program yang selari dengan salah satu tonggak Malaysia Madani yang memupuk sikap ‘Ihsan’ dalam usaha membantu Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” kata YB Dato’ Setia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata, “TH sentiasa komited dan prihatin untuk terus membantu golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada golongan yang disasarkan.”
Dalam pada itu, selain daripada program ini, beliau berkata TH juga melaksanakan pelbagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zakat melalui program berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, kesihatan serta keusahawanan seperti Ehsan, Iqra, Mobiliti dan A’fiat.
Untuk makluman, Program Mobiliti TH yang telah dilaksanakan sejak 2016 ini telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 orang di masjid-masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.
Program Mobiliti TH pada awalnya menyumbang kenderaan van dwi-fungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang.
Pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak. Bagi tahun ini, TH menyumbang sebanyak 25 buah van jenazah dan 15 buah van penumpang kepada masjid, surau dan pusat jagaan berdaftar di seluruh negara.
Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Sa’id, Pengerusi Masjid Ar Rahmah, Tuan Haji Enon Bujang, Mudir Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh, Ustaz Ahmad Hafizuddin Hamzah Al Hafiz dan Setiausaha Masjid Darul Halim, Wan Jaafari Wan Zain turut hadir ke majlis yang diadakan di Raia Hotel dan Convention Centre, Kuching.
-Tamat-