KUANTAN, Sabtu, 9 Ogos 2014: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1435H/2014M Peringkat Negeri Pahang yang dirasmikan oleh YH. Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan Dan Tugas-tugas Khas Negeri bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad 1 (Masjid Negeri), di sini. Kursus ini berlangsung selama dua (2) hari bermula hari ini sehingga Ahad, 10 Ogos 2014.
Kursus Perdana Haji Musim 1435H/2014M bagi semua negeri di seluruh negara dianjurkan secara berperingkat bermula pada 8 Ogos sehingga 23 Ogos 2014. Kursus dianjurkan dimulai oleh Negeri Terengganu dan disusuli oleh negerinegeri lain iaitu Sabah (Zon Pantai Barat), Wilayah Persekutuan, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Perlis, Johor, Kelantan, Kedah, Sabah (Zon Pantai Timur), Sarawak (Zon Sibu), Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak (Zon Kuching) dan Sarawak (Zon Miri).
Kursus Perdana Haji merupakan kursus terakhir kendalian TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan berkaitan ibadah haji serta memberikan maklumat terkini sebelum bakal jemaah haji mereka berangkat ke Tanah Suci.
Para bakal jemaah diberikan pendedahan melaksanakan ibadat haji melalui latihan amali secara simulasi seperti bertawaf, saie, melontar jamrah serta amalan-amalan secara berkumpulan. Simulasi berkumpulan ini memberikan 2 pendedahan terhadap situasi di Tanah Suci yang akan dikunjungi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
Pihak TH berharap para bakal jemaah melaksanakan bersungguh-sungguh latihan ini dengan bimbingan daripada Pembimbing Ibadat Haji TH. Sebelum ini, TH juga telah melaksanakan beberapa kursus haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Khas Haji bagi warga emas. Kursus Perdana Haji ini adalah pelengkap kepada proses bimbingan haji kepada para bakal jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Selain daripada itu, para bakal Jemaah haji juga dinasihatkan untuk membuat segala persediaan lain untuk ke Tanah Suci seperti memantapkan stamina diri dengan melakukan aktiviti riadah dan kecergasan, penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan vitamin-vitamin serta penyediaan barangan keperluan yang mencukupi seperti yang disarankan oleh TH. Sepanjang berada di Tanah Suci, para bakal haji juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan oleh TH dan pihak kerajaan Arab Saudi demi kebaikan bersama.
-Tamat-
Tabung Haji Anjur Kursus Perdana Haji Musim 1435H:2014M Peringkat Pahang