SIPITANG, 6 Ogos 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang kenderaan van serbaguna kepada Masjid Imam Hashim Pekan Sipitang, Sabah di satu Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH di sini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Hj Ahmad Marzuk Shaary berkata sumbangan kenderaan van dwi-fungsi Program Mobiliti TH ini bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan juga fardhu ain terutama ahli kariah di masjid-masjid yang memerlukan di luar bandar.
"Melalui sumbangan ini, ahli Kariah di Masjid Imam Hashim Pekan Sipitang akan dapat menggunakan pengangkutan yang lebih selesa ketika menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah untuk kesejahteraan ahli Kariah”, kata beliau.
Program Mobiliti TH pada awalnya menyumbang kenderaan van dwi-fungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang. Pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih.
Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak TH, YBhg Datin Nurlaila Said berkata, “Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, TH telah menyumbang lebih 96 buah kenderaan kepada masjid-masjid, surau, Pusat Tahfiz serta rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 orang.”
Pada tahun ini, TH memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Mobiliti dengan 40 unit van dwifungsi yang akan disumbangkan ke institusi terpilih seperti masjid, surau, rumah-rumah kebajikan dan persatuan berdaftar di seluruh negara.
Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH 2022 Negeri Sabah.pdf