KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited untuk melindungi kepentingan serta memberi nilai tambah kepada pendeposit TH.
TH aktif dalam memastikan urusan simpanan pendeposit TH dapat berikan pulangan yang baik dan stabil bagi menampung kos pengurusan haji dan pentadbiran yang saban hari semakin meningkat.
Sehubungan itu, struktur kelulusan pelaburan TH diperkemaskan dengan penglibatan Panel Pelaburan dan ahli-ahli Lembaga Pengarah yang terdiri dari kalangan golongan profesional dan pengurus yang berpengalaman.
Tambahan lagi, pelaburan TH adalah selaras dengan tahap risiko yang ditetapkan dan mengikut alokasi strategi aset bagi mencapai portfolio yang seimbang dan kepelbagaian risiko untuk memperolehi kadar pulangan yang stabil dan mampan.
TH terus mendokong teguh ketetapan yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) di mana setiap aktiviti pelaburan TH mestilah patuh syariah. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata pembelian bangunan pejabat Minster, 33 Horseferry Road, Victoria di Kota London adalah bernilai £247.5 juta (kira-kira RM1.3 bilion) seperti yang telah dimuktamadkan pada 12 Julai 2022 lalu.
Hartanah tersebut dibeli di bawah nilai pasaran semasa £250 juta berdasarkan penilaian oleh dua jurunilai professional bebas, CBRE dan Colliers.
“Ini merupakan pelaburan keenam TH di United Kingdom dan ia dijangka akan memberikan pulangan jangka panjang yang baik dan stabil di mana purata pulangan atas tunai adalah dalam anggaran lima peratus setiap tahun,” tambah beliau. TH menerusi anak syarikat juga akan melaksanakan pembiayaan semula bagi mengurangkan modal tunai ke atas hartanah tersebut. Hartanah yang dibeli oleh TH berstatus pemilikan kekal.
Hartanah tersebut terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Kota London yang kini disewa oleh Kementerian Pengangkutan United Kingdom untuk tempoh lebih 11 tahun.
Pembelian hartanah tersebut banyak memberi kelebihan kepada TH dari segi kontrak sewaan yang panjang tidak boleh batal serta kadar sewaan yang meningkat setiap tahun.
TH juga tidak perlu mengeluarkan modal kos penyelenggaraan bangunan memandangkan segala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa iaitu Kementerian Pengangkutan United Kingdom.
Adalah dijangka nilai hartanah ini akan terus meningkat disebabkan kadar sewa meningkat setiap tahun, lokasi yang strategik serta permintaan yang melebihi bekalan untuk aset berpofil tinggi di bandaraya London yang merupakan pusat kewangan terbesar dan antara destinasi pelaburan hartanah yang utama di dunia. Disamping itu, United Kingdom juga telah diberi kedudukan tertinggi dalam Global Real Estate Transparency Index, 2022 sebagai negara paling telus di dalam hartanah yang menarik ramai pelabur asing seluruh dunia. Pelaburan ini juga merupakan penyusunan semula portfolio hartanah TH di mana hasil penjualan hartanah sedia ada digunakan untuk pelaburan baharu yang memberikan pulangan lebih baik.
Pelaburan ini akan memperkukuhkan usaha TH dalam mempelbagai dan mengembangkan portfolio pelaburannya selaras dengan objektif pelaburan.
TH akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan hak dan kepentingan kesemua 8.5 juta pendeposit TH tetap dipelihara dan terjamin.
-Tamat-