SIBU, Sabtu, 15 Julai 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M peringkat Negeri Sarawak (Zon Tengah – Sarikei, Sibu & Mukah) bermula Sabtu, 15 Julai 2017 sehingga esok, 16 Julai 2017.
Majlis perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M Peringkat Negeri Sarawak ini disempurnakan oleh YB. Dr. Annuar Bin Rapaee, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN Nangka) bertempat di Masjid An-Nur, di sini. Kursus ini melibatkan lebih daripada 190 orang peserta di seluruh Zon Tengah (Sarikei, Sibu & Mukah), Negeri Sarawak. Turut hadir pada majlis tersebut, Tuan Haji Abd Kadir bin Sahlan, Ketua Pegawai Pelaburan TH.
Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat di 17 lokasi seluruh Negara bermula pada 7 Julai sehingga 16 Julai 2017 ini merupakan kursus terakhir dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji berkaitan ibadah haji terutamanya dari segi praktikal serta platform untuk memberikan maklumat terkini sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Kursus ini dijalankan dengan bimbingan dan tunjuk ajar oleh lebih 120 orang Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Negeri / Daerah dan Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS) yang memperolehi pentauliahan khas Mengajar Haji dan Umrah daripada TH. Kursus ini turut diselia lebih 660 orang petugas haji yang akan bertugas di Tanah Suci.
Bakal jemaah diberikan pendedahan melaksanakan ibadat haji melalui latihan amali secara simulasi seperti bertawaf, saie, melontar jamrah serta amalan dan beribadah secara berkumpulan. Simulasi secara berkumpulan ini memberikan pendedahan terhadap situasi di Tanah Suci yang akan dikunjungi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
Selain Kursus Perdana Haji, TH juga turut melaksanakan beberapa kursus haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Khas Haji bagi warga emas. Kursus-kursus ini merupakan antara program pendidikan dan bimbingan yang disediakan oleh TH secara percuma dalam membantu meningkatkan pengetahuan khususnya ibadah haji kepada bakal jemaah Malaysia. Penganjuran kursus-kursus ini melibatkan anggaran kos RM5 juta seluruh Negara dan merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH.
Selain daripada itu, bakal jemaah haji juga dinasihatkan untuk membuat segala persediaan lain untuk ke Tanah Suci seperti memantapkan stamina diri dengan melakukan aktiviti riadah dan kecergasan, penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan pengambilan vitamin serta penyediaan barangan keperluan yang mencukupi seperti yang disarankan oleh TH. Sepanjang berada di Tanah Suci, bakal haji juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan oleh TH dan pihak kerajaan Arab Saudi demi kebaikan bersama.
-Tamat