Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 483 orang bakal Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) hari ini. Kumpulan ini terdiri daripada 200 orang jemaah lelaki, 264 orang jemaah perempuan serta 19 petugas yang dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT06 (XY 5658) ke Madinah pada pukul 2.30 petang dan dijangka tiba pada pukul 6.00 petang (waktu Arab Saudi).
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam titah ucapan baginda mengucapkan tahniah dan menyeru semua bakal haji agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Baginda berharap semua jemaah haji memberi sepenuh tumpuan dalam pelaksanaan ibadat haji.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menasihati jemaah untuk menjaga kesihatan, menguatkan ketahanan mental dan fizikal, saling bertoleransi dan bersabar semasa berada di Tanah Suci. Para jemaah turut diingatkan agar menjaga akhlak, mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH serta menjauhi anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kemudiannya bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.
Penerbangan ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M Fasa 1 merangkumi 62 penerbangan yang bermula pada Khamis, 4 Julai 2019 dan akan berakhir pada Ahad, 4 Ogos 2019.
Majlis ini turut dihadiri oleh TYT Mahmoud Hussien Qattan, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Sahibul Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Tan Sri Md Nor Md Yusof, Pengerusi TH, YBhg. Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Anggota Lembaga dan Pengurusan Kanan TH serta wakil-wakil Kementerian dan agensiagensi Kerajaan.