Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Seramai 75 orang peserta telah terpilih menyertai kursus ini dan mereka ini adalah terdiri daripada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci untuk Pakej Muassasah Tabung Haji, Pakej Tabung Haji Travel dan Syarikat-syarikat Swasta yang telah diberikan lesen membawa Jemaah Haji (Pengelola Jemaah Haji).
YB. Dato’ Seri Jamil Khir dalam ucapannya berkata, “Khidmat bimbingan ini penting bagi menyediakan jemaah dengan hal-hal berkaitan ibadat haji dan ibadat-ibadat sunat lain di tanah suci agar mendapat haji yang mabrur. Sayajuga berharap sekembalinya para jemaah haji ke Tanah Air mereka akan menjadi insan yang lebih baik dan dapat berperanan serta menyumbang dalam pembangunan masyarakat dan negara”.
Program sebegini dijalankan bagi memastikan TH mempunyai petugas-petugas yang terlatih dikalangan para pembimbing ibadat haji. Ianya juga adalah satu usaha TH untuk memastikan keseragaman daripada segi khidmat nasihat serta taklimat berkaitan ibadat sepertimana yang telah diputuskan semasa Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
Para pembimbing ibadat haji diberi pendedahan untuk memahami tanggungjawab bagi membantu jemaah haji menunaikan haji dengan sempurna agar mendapat haji yang mabrur. Pembelajaran dan pengetahuan amat penting dalam usaha untuk membolehkan jemaah haji memahami setiap rukun dan wajib haji serta melaksanakannya berasaskan kefahaman yang sebenar.
TH berharap kursus ini akan dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada semua pembimbing ibadat haji mengenai penyelarasan hukum-hakam dan isu terkini mengenai ibadat haji serta dapat membantu jemaah haji Malaysia.
- Tamat –