Rombongan petugas TH seramai 151 orang telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah, pada hari Khamis, 27 Jun 2019 pukul 6:40 petang waktu Saudi. Rombongan tersebut disambut oleh Tuan Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul Haji Malaysia di Jeddah dan para pegawai Konsul Haji.
Kumpulan petugas seramai 151 orang ini merupakan kumpulan kedua petugas awal TH yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji yang akan tiba dalam masa seminggu lagi. Mereka merupakan sebahagian dari 640 orang petugas yang akan menyantuni jemaah haji negara pada musim haji kali ini.
Para petugas haji yang tiba dengan berpakaian ihram ini telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Makkah dan Madinah pada hari Jumaat, 28 Jun 2019 pukul 6.00 petang.
Menurut Saimi, suasana di Makkah dan Madinah masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Makkah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah nanti. Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius dan ia merupakan salah satu cabaran bagi 30,200 Jemaah Haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji, tambah beliau lagi.
Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.
TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos 2019.
Hari wuquf dijangka pada Sabtu, 9 Zulhijjah 1440H bersamaan 10 Ogos 2019.
Siaran Akhbar - ROMBONGAN PETUGAS TH SELAMAT TIBA DI MAKKAH.pdf