KOTA KINABALU, 10 JUN 2023: Seramai 142 bakal-bakal haji yang merupakan kumpulan bakal haji pertama dari negeri Sabah akan memulakan perjalanan ke Tanah Suci hari ini.
Mereka akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan feeder sebelum menaiki penerbangan MH8148 pada jam 12:15 malam dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 4:10 pagi pada hari Ahad.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada bakal-bakal haji tersebut di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.
“Saya meminta jemaah haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan jauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Sabah.
Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” kata beliau.
“Saya mengucapkan syabas kepada Tabung Haji serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam operasi haji tahun ini.
Saya berbangga dengan persediaan yang dilakukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara,”kata beliau lagi.
Pada musim ini, seramai 1,079 orang bakal haji dari negeri Sabah telah terpilih untuk menunaikan haji berbanding 355 pada tahun lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar juga menyeru bakal jemaah haji untuk mengambil kesempatan berada di tanah suci untuk memberi tumpuan kepada menyempurnakan ibadat haji dan amal ibadat yang lain.
“Elakkan daripada terlalu banyak melakukan perkara sia-sia kerana peluang terpilih menjadi tetamu Allah Subhanahu Wata’ala ini bukannya mudah,”kata beliau.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Tuan Syed Hamadah Syed Othman mendoakan semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan tenang dan sempurna, dan pulang dengan haji yang makbrur.
“TH berharap kesemua jemaah dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji seperti yang telah dipelajari semasa kursus-kursus anjuran Tabung Haji,” kata beliau.
Beliau juga menasihatkan semua bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan disebabkan suasana COVID-19 yang masih boleh mengancam kesihatan di samping keadaan cuaca yang panas di Tanah Suci.
Bagi musim kali ini, bermula pada 10 Jun 2023 sehingga 17 Jun 2023, sebanyak 6 penerbangan domestik menerusi Malaysia Airlines akan membawa bakal-bakal haji negeri Sabah, di mana setibanya di KLIA mereka akan melalui proses Makkah Route iaitu pemeriksaan imigresen serta Kastam Arab Saudi sebelum menaiki penerbangan sewa khas haji untuk ke Tanah Suci.
-TAMAT-