KUALA LUMPUR, 4 MEI 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menyangkal kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan bahawa Umat Islam kini telah hilang kuota tambahan haji.
Dakwaan Dr. Ashraf bukan sahaja memberi kekeliruan tetapi juga tidak benar sama sekali. Dr. Asyraf telah membuat kenyataan di atas dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia online pada 4 Mei 2019.
Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan pihak Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini ialah sebanyak 30,200 orang. Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.
Seperti kebiasaan, pemberian kuota tambahan ini adalah bergantung atas budi bicara kerajaan Arab Saudi. Sehingga kini, pihak TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat.
Berdasarkan rekod 10 tahun kebelakang, ada empat tahun, iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan.
TH menegaskan agar pihak-pihak dan individu berkaitan harus berhenti dari mensensasikan komen serta analisis tidak tepat yang berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat.
04052019_SIARAN AKHBAR TH - TH nafi dakwaan kehilangan kuota haji (FINAL).pdf